Bidaan Pembangunan Sistem Penstoran Tenaga (BESS) Dibuka 29 November 2024 Bagi Menyokong Aspirasi Peralihan Tenaga Negara
BIDAAN PEMBANGUNAN SISTEM PENSTORAN TENAGA (BESS) DIBUKA 29 NOVEMBER 2024 BAGI MENYOKONG ASPIRASI PERALIHAN TENAGA NEGARA
PUTRAJAYA, 28 November 2024 – Selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70% menjelang tahun 2050, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Tenaga, akan melaksanakan proses bidaan terbuka untuk pembangunan sistem penstoran tenaga atau battery energy storage system (BESS) bagi sistem pembekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.
Pembangunan BESS secara bidaan ini julung kali dilaksanakan akan menawarkan kapasiti berjumlah 400MW/1,600MWj. Pembangunan BESS ini akan dibahagikan kepada empat projek yang berasingan dengan kapasiti 100MW/400MWj bagi setiap projek dan perlu mencapai tarikh operasi komersial bermula tahun 2026.
Kaedah perolehan secara bidaan terbuka ini akan memastikan proses kelulusan kepada pemaju yang berkelayakan dilakukan secara telus dan terbuka, membolehkan kadar tarif yang paling kompetitif serta memberikan manfaat yang maksimum kepada sistem pembekalan elektrik pada kos yang paling optimum.
Proses penawaran bagi pembangunan BESS ini akan dilakukan secara 2 peringkat iaitu bermula dengan proses Request For Qualification (RFQ) dan disusuli dengan proses penawaran bidaan melalui Request For Proposal (RFP). Pelaksanaan RFQ akan dimulakan pada 29 November 2024 sehingga 13 Disember 2024. Proses RFQ ini merupakan saringan peringkat awal bagi mendapatkan maklumat mengenai kelayakan dan keupayaan pemaju yang berminat, sebelum disenarai pendek untuk menyertai proses penawaran bidaan melalui pelaksanaan Request For Proposal (RFP).
Perincian mengenai kaedah dan proses penyertaan bidaan ini boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga iaitu www.st.gov.my, mulai 29 November 2024.
Pelaksanaan pembangunan BESS ini dijangka akan mewujudkan peluang ekonomi baharu dengan anggaran pelaburan bernilai RM2.8 bilion. PETRA yakin pelaksanaan inisiatif ini akan mengukuhkan keupayaan dan keanjalan sistem grid di Semenanjung Malaysia untuk menerima lebih banyak kemasukan kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik, sekaligus menyokong komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
28 NOVEMBER 2024
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.