EE Challenge 2025 Anjuran ST Catat Penjimatan Tenaga Terkumpul Melebihi RM900,000
EE Challenge 2025 Anjuran ST Catat Penjimatan Tenaga Terkumpul Melebihi RM900,000
Putrajaya, 20 November 2025 – Energy Efficiency Challenge (EE Challenge) 2025 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) melabuhkan tirainya dengan pencapaian membanggakan apabila berjaya mencatatkan penjimatan tenaga terkumpul (2014-2025) sebanyak 1,701,055 kWh iaitu bersamaan dengan nilai RM900,841 serta penghindaran karbon sebanyak 1,316 tan CO₂, setara dengan penanaman lebih 54,850 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-12 penganjuran program berimpak tinggi ini yang bertujuan membudayakan amalan kecekapan tenaga dan keselamatan tenaga dalam kalangan generasi muda di seluruh negara.
Generasi Muda Sebagai Pemangkin Kecekapan Tenaga
Dalam ucapan perasmiannya di Majlis Penyampaian Hadiah EE Challenge 2025 hari ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata program ini menjadi bukti bahawa generasi muda kini semakin prihatin terhadap isu tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Program ini amat penting dalam membudayakan amalan cekap tenaga di peringkat akar umbi. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform untuk mendidik dan membina ‘hero tenaga’ masa depan. Dengan tema ‘Jadilah Bijak Tenaga’, ST terus berusaha menanam nilai kecekapan tenaga dalam diri pelajar supaya ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kecekapan tenaga merupakan antara elemen utama yang digariskan di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR) dan penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA), yang bermula pada 1 Januari 2025 menjadi langkah penting dalam memperkukuh dasar kawal selia tenaga negara dengan lebih menyeluruh.
“Namun, kejayaan sebenar tidak hanya bergantung pada dasar atau teknologi, tetapi juga pada perubahan sikap masyarakat, termasuk generasi muda seperti para pelajar yang menyertai pertandingan ini,” tambah beliau.
ST Komited Membentuk Masyarakat Celik Tenaga
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST, Puan Siti Safinah Salleh turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Amanah Rakyat, para guru dan pelajar atas sokongan, dedikasi serta kreativiti yang ditonjolkan.
“Komitmen pihak pentadbiran sekolah, guru-guru dan para pelajar yang menyertai pertandingan bagi kategori ini hendaklah dipuji. Ini kerana, ia bukan sahaja melibatkan kesedaran (awareness), tetapi juga melibatkan penglibatan sekolah ke atas tindakan bagi amalan cekap tenaga. Ini bermakna, mereka bukan sahaja tahu tentang amalan kecekapan tenaga, tetapi turut mengambil tindakan yang diperlukan,” katanya.
Pertandingan EE Challenge juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Malaysia Energy Literacy Program (MELP), sebuah inisiatif literasi tenaga peringkat kebangsaan untuk membentuk masyarakat yang celik tenaga melalui aktiviti edutainment dan pendekatan yang interaktif. Mulai tahun 2026, program ini akan diperluaskan lagi melalui platform DELIMa di bawah KPM bagi memperkukuh skop literasi tenaga di peringkat nasional, merangkumi pelbagai aspek tenaga, dari kecekapan, keselamatan ke tenaga boleh baharu.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.