Jadual Elektrik Baharu: Lebih 23.6 Juta Pengguna Domestik Semenanjung Nikmati Kadar Lebih Adil
Jadual Elektrik Baharu: Lebih 23.6 Juta Pengguna Domestik Semenanjung Nikmati Kadar Lebih Adil
Putrajaya, 20 Jun 2025 – Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan oleh Kerajaan. Penetapan tarif ini akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kawal selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation - IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (Regulatory Period 4 - RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga (3) komponen berikut:
(i) kadar purata tarif asas;
(ii) jadual tarif baharu; dan
(iii) mekanisme pelarasan kos bahan api.
Penyelarasan Kadar Purata Tarif Asas
Kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada bulan Disember 2024. Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).
Perubahan Struktur Tarif Elektrik Merangkumi Kategori Pengguna, Caj dan Insentif
Pengenalan jadual tarif baharu ini meliputi perkara berikut:
(i) perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana dan tinggi; dan
(ii) penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.
Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah. Melalui insentif ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu. Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif ini.
Selain itu, skim Masa Penggunaan atau Time Of Use (TOU) telah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan 10 malam sehingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat. Ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan tenaga yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari. Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak.
Bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara, Kerajaan bersetuju supaya:
(i) tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel atau traction;
(ii) pemberian rebat sebanyak 10 peratus bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat; serta
(iii) penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampiran.
Secara keseluruhannya, pendekatan ini adalah bertujuan menggalakkan inisiatif kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu yang memberi manfaat bersama melalui sistem tenaga yang lebih efisien dan mampan. Bagi tujuan ini, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci (itemised billing).
Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu ini, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan. Malah, pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga.
Pembaharuan Mekanisme Pelarasan Kos
Bagi komponen caj tenaga, mekanisme pelarasan kos bahan api baharu yang lebih dinamik iaitu Automatic Fuel Adjustment (AFA) akan menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Mekanisme ini membolehkan pelarasan kos penjanaan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing. Maklumat tersebut akan dilaporkan setiap bulan di laman sesawang ST.
Pelaksanaan dan khidmat sokongan bagi pengguna
Jadual tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan bulan Julai 2025. Perincian kadar serta kategori baharu (jika berkaitan) boleh disemak melalui saluran berikut:
- Jadual tarif akan dipaparkan di laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff mulai 21 Jun 2025, pukul 12.00 tengah hari;
- Anggaran kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang boleh diakses seawal-awalnya mulai Isnin, 23 Jun 2025 melalui laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pengguna digalakkan menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, emel ke tnbcareline@tnb.com.my ataupun melalui platform rasmi TNB yang lain.
Komitmen Suruhanjaya Tenaga
Sebagai badan kawal selia tenaga di Semenanjung Malaysia, ST komited untuk memastikan pelaksanaan tarif berdasarkan prinsip adil, telus dan mampan bagi memenuhi keperluan dan mengimbangi kepentingan semua pengguna tenaga. Penstrukturan dan penyelarasan secara menyeluruh ini merupakan langkah penting bagi merealisasikan serta memperkukuh agenda peralihan tenaga negara yang saksama dan inklusif.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.