Newsroom
Press Releases 02 April 2024

Kerajaan Tawar Kuota Solar Sebanyak 2,000MWac Melalui Pelaksanaan Program Bidaan Kompetitif Large Scale Solar (LSS) Pusingan Kelima - LSS PETRA

KERAJAAN TAWAR KUOTA SOLAR SEBANYAK 2,000MWac MELALUI PELAKSANAAN PROGRAM BIDAAN KOMPETITIF LARGE SCALE SOLAR (LSS) PUSINGAN KELIMA - LSS PETRA

PUTRAJAYA, 2 April 2024 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) akan menawarkan kuota solar sebanyak 2,000MWac melalui proses bidaan kompetitif di bawah program Large-Scale Solar (LSS) yang dinamakan LSS PETRA iaitu LSS – Peralihan Tenaga SuRiA. Ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam menyokong peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon dengan meningkatkan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada 70% pada 2050.

Bagi memberi peluang penyertaan serta menggalakkan penglibatan pemaju Bumiputera, program LSS PETRA ini menyasarkan kapasiti berjumlah 2,000MWac dengan pakej serta julat kuota yang ditawarkan seperti berikut:

Pakej Julat Kapasiti Jumlah Kuota
1 1MW hingga <10MW 250MW
2 ≥10MW hingga <30MW 250MW
3 ≥30MW hingga 500MW 1,000MW
(loji janakuasa solar terapung) 10MW hingga 500MW 500MW

Nota: Pakej 1, 2 dan 3 adalah untuk loji janakuasa solar atas tanah dan bangunan.

Pakej 1 dibuka kepada syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51% pegangan ekuiti Bumiputera dan mendapat Sijil Akuan Status PMKS daripada SME Corporation Malaysia.

Pakej 2 dibuka kepada syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51% pegangan ekuiti Bumiputera atau konsortium yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu syarikat Bumiputera yang diperbadankan di Malaysia dan syarikat asing dengan pegangan ekuiti Bumiputera dalam konsortium sekurang-kurangnya 51%.

Pakej 3 dan Pakej 4 dibuka kepada syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51% pegangan ekuiti tempatan atau konsortium yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia dan syarikat asing dengan pegangan ekuiti tempatan dalam konsortium sekurang-kurangnya 51%.

Program LSS PETRA memberi peluang kepada syarikat Bumiputera untuk terlibat dalam sektor tenaga dan bersaing secara sihat.

Loji-loji janakuasa solar di bawah program LSS PETRA ini dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2026.

Sehubungan itu, syarikat atau konsortium yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan projek-projek yang berkaitan dengan penjanaan tenaga, memiliki keupayaan teknikal dan kewangan untuk membangunkan, membiayai dan mengoperasi loji janakuasa solar adalah dipelawa untuk mengambil bahagian dalam proses bidaan kompetitif mengikut kriteria yang ditetapkan dalam dokumen Request For Proposal (RFP).

Dokumen RFP akan dijual mulai dari 1 April 2024 sehingga 16 April 2024 jam 5.00 petang secara dalam talian melalui laman sesawang ST iaitu www.st.gov.my. Maklumat lanjut mengenai pembelian dokumen RFP ini juga boleh didapati melalui Notis Pemakluman di laman sesawang ST.

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.