Laman Web Literasi Tenaga Pertama Di Malaysia Dilancarkan Sebagai Pusat Rujukan Setempat Maklumat Berkaitan Tenaga
LAMAN WEB LITERASI TENAGA PERTAMA DI MALAYSIA DILANCARKAN SEBAGAI PUSAT RUJUKAN SETEMPAT MAKLUMAT BERKAITAN TENAGA
PUTRAJAYA, 2 September 2025 – Laman web rasmi Malaysia Energy Literacy Program (MELP) – www.melp.my – telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, semasa Sesi Perjumpaan YAB Menteri Bersama Warga PETRA Bulan September 2025 di Menara PETRA, hari ini.
Platform digital ini diwujudkan sebagai pusat rujukan literasi tenaga negara yang interaktif, mudah diakses dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membentuk masyarakat yang lebih celik tenaga.
Laman web ini menyediakan pelbagai bahan rujukan digital, termasuk artikel, panduan, infografik, video, dan kandungan pendidikan. Pembangunan laman web MELP ini telah diterajui oleh Suruhanjaya Tenaga dengan penglibatan aktif daripada Rakan Strategik MELP, iaitu PETRA, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), MyPOWER Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER), Yayasan Hijau Malaysia, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malakoff, NUR Power, dan Edra Energy.
Inisiatif ini diyakini mampu untuk meningkatkan kefahaman masyarakat antara lainnya mengenai kepentingan tenaga, penggunaan tenaga yang cekap, keselamatan elektrik serta peranan semua pihak dalam menyokong matlamat negara sifar karbon menjelang tahun 2050.
MELP merupakan jambatan pengetahuan berkaitan tenaga untuk semua lapisan masyarakat yang melengkapkan rakyat dengan maklumat sahih dan praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Ia merupakan langkah kecil tetapi signifikan menuju masa depan tenaga negara yang lestari.
PETRA komited untuk terus memperkukuh usaha literasi tenaga melalui MELP sebagai wadah perkongsian ilmu dan kesedaran yang inklusif. Dengan adanya laman web ini, usaha mendekatkan mesej kelestarian tenaga kepada rakyat dapat dipergiatkan, sekali gus menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara yang mampan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
2 SEPTEMBER 2025
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.