Newsroom
Press Releases 28 November 2024

EE Challenge 2024 Rekod Penjimatan Tenaga Terkumpul Sebanyak RM840,446 di Sekolah Sekitar Malaysia

EE Challenge 2024 Rekod Penjimatan Tenaga Terkumpul Sebanyak RM840,446 di Sekolah Sekitar Malaysia

Putrajaya, 28 November 2024 – Pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga atau Energy Efficiency Challenge (EE Challenge) 2024 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) menerima bilangan penyertaan sebanyak 1,585 penyertaan di bawah semua kategori yang dipertandingkan di seluruh negara.

Tahun ini merupakan tahun ke-11 pertandingan ini diadakan sejak 2014 dan telah menjadi acara tahunan ST dalam usaha membudayakan amalan kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik dan gas di kalangan generasi muda.

Sebanyak empat (4) kategori dipertandingkan tahun ini, iaitu #POSTER-DRAWING-CHALLENGE, #STORY-TELLING-CHALLENGE, Video EE Paling Kreatif dan Sekolah Paling EE.

Dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Hadiah EE Challenge 2024 di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof berkata penglibatan anak-anak muda kita membuktikan kepekaan dan keprihatinan mereka mengenai kepentingan kecekapan tenaga ke arah melestarikan alam sekitar.

“Kecekapan tenaga adalah antara pemangkin utama dalam usaha Kerajaan ke arah peralihan tenaga. Malaysia mempunyai komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050, selaras dengan agenda global menangani perubahan iklim,” katanya.

Kerajaan juga telah meluluskan Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) pada Jun 2024 yang membuktikan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh kawal selia penggunaan tenaga secara cekap dan mampan.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah turut berkata penjimatan tenaga terkumpul sepanjang 11 tahun penganjuran pertandingan ini adalah sebanyak 1,568,025 kWj iaitu bersamaan dengan nilai RM840,446 dan penghindaran karbon sebanyak 1,207 tonne CO₂. Hasil penjimatan terkumpul ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan sebanyak 18,113 batang anak pokok selama tempoh 10 tahun.

“Generasi muda adalah ejen perubahan yang paling berkesan. Oleh itu, amat penting untuk kesedaran mengenai kecekapan tenaga diterapkan sejak di bangku sekolah. Anda semua adalah ‘Duta Kecekapan Tenaga’! Selain itu, program-program edutainment sebegini juga merupakan salah satu inisiatif literasi tenaga di bawah Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan, bertujuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang celik tenaga.” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST, Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib bin Dawood berkata bahawa harapan ST adalah agar amalan kecekapan tenaga ini dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian walaupun selepas pertandingan ini berakhir. Ini bagi memastikan kita melahirkan generasi yang cakna akan kelestarian alam sekitar.

“Jadikan ilmu dan panduan kecekapan tenaga yang anak-anak pelajari daripada penyertaan pertandingan ini sebagai amalan di rumah atau di sekolah. Ibu bapa dan penjaga juga boleh menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam menggunakan tenaga elektrik dengan cekap.” katanya.

Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.

 

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.