Tiada Kenaikan Tarif Elektrik di Semenanjung bagi Tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2024
TIADA KENAIKAN TARIF ELEKTRIK DI SEMENANJUNG BAGI TEMPOH 1 JULAI HINGGA 31 DISEMBER 2024
PUTRAJAYA, 29 JUN 2024 – Kerajaan pada 28 Jun 2024 telah bersetuju supaya tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024. Melalui keputusan ini, Kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
Selain itu, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh Julai hingga Disember 2024. Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran di samping menyokong usaha Kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara. Di samping itu, Kerajaan juga telah bersetuju mengurangkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2024 supaya pihak PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu-lampu jalan, lampu taman-taman perumahan dan lampu kawasan rekreasi.
Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh Julai hingga Disember 2024 yang akan dibiayai oleh Kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2,192 juta. Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi Kerajaan yang mana peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan Kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.
Selain itu, Kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta. Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang
https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.
Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, pengguna disaran untuk sentiasa mengamalkan penggunaan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga. Di bawah Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program Net Energy Metering (NEM). Melalui program baharu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April 2024 akan menerima rebat RM1,000/kWAC sehingga maksimum RM4,000.
Pengguna boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh Kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing. Kerajaan berharap agar pemberian subsidi elektrik ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
29 JUN 2024
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.