Penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 [Akta 861] dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024
Penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 [Akta 861] dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024
Putrajaya, 31 Disember 2024 – Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 [Akta 861] dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025. Pelaksanaan ini merupakan tonggak penting dalam usaha merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR) dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih mampan tenaga.
Akta 861 terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dan telahpun diwartakan pada 26 November 2024. Akta ini akan dilaksanakan di bawah pengawalseliaan Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai agensi penguatkuasaan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan dan konservasi tenaga.
Akta 861 ini terdiri daripada sepuluh bahagian utama yang merangkumi antaranya kewajipan pengguna tenaga dan diperluaskan kepada pengawalseliaan produk menggunakan tenaga (Energy-Using Products – EUP). Antara perkara utama yang digariskan di dalam Akta ini adalah seperti berikut:
i. kewajipan pengguna tenaga yang menggunakan tenaga menyamai atau melebihi ambang 21,600 GJ setahun untuk melantik pengurus tenaga berdaftar, membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga, dan menjalankan audit tenaga;
ii. keperluan penarafan kecekapan tenaga bagi bangunan yang disenaraikan di dalam Jadual Ketiga Akta, di mana bangunan ini dikehendaki untuk mempamerkan label intensiti tenaga dan memenuhi standard kecekapan tenaga minimum;
iii. keperluan pendaftaran ke atas pengilang dan pengimport produk menggunakan tenaga, di mana produk yang berkaitan hendaklah memenuhi standard prestasi tenaga minimum (Minimum Energy Performance Standard – MEPS), mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga dan menggalakkan penggunaan produk cekap tenaga dalam pasaran;
iv. keperluan pendaftaran bagi pengurus tenaga dan juruaudit tenaga termasuklah keperluan untuk kelayakan akademik dan profesional tertentu bagi meningkatkan standard profesional dalam pengurusan tenaga; dan
v. pendaftaran institusi latihan yang terlibat dalam latihan berkaitan dengan kecekapan tenaga.
Seiring dengan penguatkuasaan Akta 861, Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 juga akan berkuat kuasa bagi melengkapkan penguatkuasaan Akta ini. Peraturan-Peraturan ini memperincikan keperluan pelantikan pengurus tenaga, sistem pengurusan tenaga, audit tenaga, dan pelaporan kecekapan tenaga.
Intipati penting di bawah Peraturan-Peraturan ini antaranya merangkumi tanggungjawab pengguna tenaga untuk melantik pengurus tenaga berdaftar dalam kalangan pekerja mereka sekiranya penggunaan tenaga adalah melebihi ambang penggunaan tenaga yang telah ditetapkan. Laporan audit tenaga juga hendaklah dikemukakan kepada ST mengikut tempoh yang ditetapkan.
Peraturan-Peraturan ini juga memperuntukkan keperluan bagi label intensiti tenaga untuk bangunan dan label tersebut hendaklah diperbaharui setiap tahun. Produk menggunakan tenaga juga diwajibkan untuk memenuhi standard MEPS dan mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga. Secara keseluruhannya, peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan ini akan memastikan pelaksanaan Akta 861 dibuat secara menyeluruh dan konsisten.
Susulan daripada penguatkuasaan Akta 861, Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap 2008 di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] akan dibatalkan melalui Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap (Pembatalan) 2024. Langkah ini adalah bagi memastikan keselarasan dasar dan peraturan tenaga yang lebih moden dan relevan untuk menyokong keperluan masa kini.
YAB Dato’ Sri Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Energy Efficiency Challenge pada 28 November 2024 menyatakan bahawa kecekapan tenaga adalah antara pemangkin utama dalam usaha Kerajaan ke arah peralihan tenaga dan Akta ini merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh kawal selia penggunaan tenaga secara cekap dan mampan.
Kerajaan menyeru sektor industri, komersial, dan pemilik bangunan untuk mematuhi Akta 861 dan menyokong usaha negara ke arah peralihan tenaga mampan. Kejayaan Akta ini bergantung kepada usaha kolektif seluruh masyarakat.
Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my/eeca.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.