Progam Solar Untuk Kegunaan Sendiri Ditambah Baik Had Pemasangan Sistem Dimansuhkan Dan Pemasangan Atas Tanah Serta Badan Air Dibenarkan
PROGRAM SOLAR UNTUK KEGUNAAN SENDIRI DITAMBAH BAIK HAD PEMASANGAN SISTEM DIMANSUHKAN DAN PEMASANGAN ATAS TANAH SERTA BADAN AIR DIBENARKAN
PUTRAJAYA, 24 Disember 2024 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga akan membuat penambahbaikan terhadap garis panduan bagi pelaksanaan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri atau Solar for Self-Consumption (SelCo) Programme yang telah diperkenalkan sejak tahun 2017.
Garis Panduan Mengenai Penyambungan Pepasangan Solar Fotovoltaik Untuk Kegunaan Sendiri sedia ada yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga membolehkan pengguna elektrik memasang sistem solar PV untuk kegunaan sendiri di bumbung premis bangunan sahaja dengan kapasiti pemasangan sehingga 85% daripada permintaan maksimum. Selain itu, pemasangan sistem solar juga hanya dibenarkan pada bumbung premis bangunan selaras dengan tujuan asal program supaya ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan bekalan elektrik tanpa menebus guna kawasan tanah baharu.
Seiring dengan dasar semasa dan komitmen Kerajaan untuk merancakkan usaha peralihan tenaga dan terdapatnya permintaan supaya dibenarkan pemasangan sistem solar di atas tanah dan juga di badan air secara terapung, PETRA bersetuju untuk membenarkan pelaksanaan konfigurasi pemasangan selain di bumbung premis bangunan.
Mengambil kira keperluan bekalan elektrik hijau oleh pihak korporat dan industri dalam memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), penambahbaikan pelaksanaan Program SelCo merangkumi perkara berikut:
(i) pemasangan sistem solar diperluaskan untuk konfigurasi pemasangan solar atas tanah (ground mounted solar) dan juga pemasangan solar di badan air secara terapung (floating solar) di dalam kawasan premis pengguna;
(ii) pemasangan sistem solar secara kegunaan sendiri ini turut diperluaskan kepada pengguna elektrik kategori pertanian;
(iii) had kapasiti pemasangan 85% permintaan maksimum sedia ada yang ditetapkan bagi pengguna kategori bukan domestik dimansuhkan bagi menyokong usaha syarikat korporat dan industri melaksanakan pengurangan jejak karbon serta memenuhi komitmen ESG;
(iv) syarat pemasangan sistem penstoran tenaga akan ditetapkan bagi memastikan kestabilan sistem pembekalan elektrik secara keseluruhan; dan
(v) pendaftaran bagi penyertaan program ini akan dilakukan secara berpusat di Suruhanjaya Tenaga.
Penambahbaikan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025. Perincian dan garis panduan mengenai Program SelCo yang telah ditambah baik boleh dimuat turun daripada laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.
PETRA yakin penambahbaikan terhadap garis panduan Program SelCo ini akan membuka akses bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna elektrik khususnya pihak korporat dan industri untuk memenuhi komitmen ESG, selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70% campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
23 DISEMBER 2024
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.