Pelarasan Pendapatan dan Purata Tarif Penggunaan Kemudahan Gas bagi Tahun 2024
Pelarasan Pendapatan dan Purata Tarif Penggunaan Kemudahan Gas bagi Tahun 2024
Putrajaya, 18 April 2024 – Kerajaan pada 29 Mac 2024 telah bersetuju supaya pelarasan pendapatan tahunan dan purata tarif yang dibenarkan untuk tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024 dalam tempoh kawal selia kedua (Regulatory Period 2 - RP2) melibatkan empat (4) kemudahan gas iaitu terminal penggasan semula milik Regas Terminal (Sg. Udang) Sdn. Bhd. (RGTSU), terminal penggasan semula milik Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (RGTP), talian paip penghantaran milik PETRONAS Gas Bhd. (PGB) dan talian paip pengagihan milik Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. (GMD) adalah ditetapkan, seperti berikut:
(i) supaya pelarasan pendapatan bagi RGTSU ditetapkan pada kadar surcaj sebanyak RM0.010/Gigajoule(GJ)/hari dan purata tarif yang dibenarkan untuk RGTSU bagi tahun 2024 ditetapkan pada RM3.465/GJ/hari;
(ii) supaya pelarasan pendapatan bagi RGTP ditetapkan pada kadar rebat sebanyak RM0.015/GJ/hari dan purata tarif yang dibenarkan untuk RGTP bagi tahun 2024 ditetapkan pada RM3.150/GJ/hari;
(iii) supaya pelarasan pendapatan tahunan bagi talian penghantaran milik PGB adalah seperti ketetapan berikut:
a. bagi pembekalan gas di Semenanjung iaitu ‘Tarif T’, pelarasan pendapatan ditetapkan pada kadar surcaj sebanyak RM0.033/GJ/hari. Oleh itu, purata tarif yang dibenarkan untuk ‘Tarif T’ PGB bagi tahun 2024 ditetapkan pada RM1.096/GJ/hari; dan
b. bagi tarif tambahan talian paip penghantaran milik PGB untuk pembekalan gas bertekanan tinggi ke Singapura iaitu ‘Tarif C’, pelarasan pendapatan ditetapkan pada kadar surcaj sebanyak RM0.052/GJ/hari. Oleh itu, purata tarif yang dibenarkan untuk ‘Tarif C’ PGB bagi tahun 2024 ditetapkan pada RM1.701/GJ/hari.
(iv) supaya pelarasan pendapatan bagi GMD ditetapkan pada kadar rebat sebanyak RM0.045/GJ/hari dan purata tarif yang dibenarkan untuk GMD bagi tahun 2024 ditetapkan pada RM1.528/GJ/hari.
Mekanisme pelarasan purata tarif secara tahunan ini dilaksanakan bagi memastikan pemegang lesen kemudahan gas memperoleh hasil pendapatan yang memadai untuk menjalankan operasi secara efisien dan selamat.
Pelaksanaan mekanisme ini turut mengambil kira perbelanjaan pelaburan yang cekap, jaminan kelangsungan bekalan gas, kemampuan perniagaan pemegang lesen kemudahan gas serta kedudukan semasa industri pasaran gas negara. Selain itu, pelaksanaan mekanisme ini juga telah mengambil kira impak kepada pengguna dengan memastikan tarif yang dikenakan adalah berpatutan, telus dan munasabah.
Perubahan purata tarif kemudahan gas dijangka tidak memberi impak yang besar kepada pengguna gas kerana komposisi tarif kemudahan gas adalah kecil berbanding harga molekul gas yang merupakan komponen terbesar dalam penetapan harga jualan gas. Secara puratanya, pecahan peratusan tarif kemudahan gas adalah di antara 2.6% hingga 5.5% daripada jumlah harga jualan gas, bergantung kepada kemudahan gas yang digunakan.
Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.