"Pemain Industri dan Komuniti Perniagaan Beri Respon Positif Berhubung Cadangan Semakan Semula Jadual Tarif Elektrik"
PUTRAJAYA, 5 Februari 2025 – Satu sesi libat urus bersama pemain industri dan komuniti perniagaan telah diadakan di Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini bagi mendapatkan maklum balas berkenaan penetapan jadual tarif baharu di Semenanjung.
Antara pemain industri dan komuniti perniagaan yang hadir adalah Gabungan Dewan. Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Federation of Malaysian Manufacturer (FMM), National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM), Malaysian Iron and Steel Industry Federation (MISIF), Persatuan Pengurus Kompleks (PPK) Malaysia, Anjoo Steel Berhad dan Socio-Economic Research Centre (SERC).
Secara keseluruhannya, rata-rata wakil pemain industri dan komuniti perniagaan memberikan maklum balas positif berkaitan cadangan semakan semula jadual tarif sedia ada. Walau bagaimanapun, beberapa pihak memberikan penekanan terhadap ketelusan kos-kos pembekalan elektrik yang akan dikenakan kelak serta mencadangkan supaya perancangan pembekalan elektrik negara terutamanya berkaitan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dilaksanakan secara holistik. ST mengambil maklum pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh wakil pemain industri dan komuniti perniagaan dalam sesi libat urus ini, yang akan dipertimbangkan dalam pelaksanaan semakan semula jadual tarif baharu di Semenanjung. ST bercadang untuk mengadakan beberapa sesi libat urus seperti ini bersama pemain industri dan komuniti perniagaan pada masa akan datang
Keterlibatan pemain industri dan komuniti perniagaan adalah penting bagi memastikan kepentingan semua pihak diambil kira dalam penentuan jadual tarif baharu di samping memastikan agar ia mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif serta mengekalkan keseimbangan trilema tenaga iaitu keterjaminan bekalan, lestari dan mampu dibayar oleh pengguna.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi media@st.gov.my.
***TAMAT***
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.