Pemakluman Perubahan Nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KРTDGA) kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA)
PEMAKLUMAN PERUBAHAN NAMA KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN DAYA GUNA AWAM (KPTDGA) KEPADA KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR (PETRA)
PUTRAJAYA, 8 FEBRUARI 2024 - Kabinet semalam telah meluluskan cadangan menamakan semula Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) atau dalam Bahasa Inggeris, Ministry of Energy Transition and Water Transformation (PETRA). Cadangan menamakan semula Kementerian ini telah dibawa oleh YAB Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Perubahan ini bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab Kementerian berkaitan dengan usaha transformasi dalam bidang tenaga dan air negara. Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa aspirasi Kerajaan melalui fungsi dan tugas Kementerian ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat umum melalui nama baharu tersebut.
Pemilihan akronim Kementerian pula telah ditentukan melalui pertandingan secara terbuka kepada warga Kementerian dan jabatan serta agensi dibawahnya. Sejumlah 105 cadangan akronim telah di terima dan PETRA telah terpilih sebagai akronim Kementerian baharu ini.
Akronim tersebut merujuk kepada pemilihan huruf-huruf terpilih yang dikaitkan dengan nama Kementerian. PERALIHAN TENAGA dizahirkan secara simbolik pada tiga (3) huruf pertama (PET), manakala TRANSFORMASI AIR juga dizahirkan secara simbolik melalui tiga (3) huruf terakhir akronim berkenaan (TRA). Sektor Tenaga dan Air yang merupakan komponen terpenting dalam kehidupan kita dan kesejahteraan rakyat akan digalas oleh Kementerian ini.
Sehubungan itu, nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), akan digunakan secara rasmi ke atas segala urusan berkaitan dengan Kementerian.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR (PETRA)
8 Februari 2024
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.