Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MuO) Antara Suruhanjaya Tenaga dan SME Corp. Malaysia
PEMETERAIAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA
SURUHANJAYA TENAGA DAN SME CORP. MALAYSIA
PUTRAJAYA, 21 Mac 2024 – Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama SME Corp. Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) di Bangunan Berlian ST, hari ini.
MoU ini bertujuan untuk memperluas dan meneruskan hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Antara bidang kerjasama yang dihasratkan dalam MoU ini merangkumi:
(a) pelaksanaan aktiviti bersama bagi program-program pembangunan yang melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); dan
(b) pertukaran / perkongsian maklumat kepada pemegang taruh bagi memastikan polisi dan program-program yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara efektif.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib bin Dawood berkata, ST sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara berharap supaya pemeteraian MoU ini akan dapat meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua belah pihak terutamanya yang melibatkan program pembangunan PMKS, yang turut merangkumi program-program kesedaran kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik dan gas berpaip di kalangan PMKS.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Nainy, SME Corp. Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat dalam pembangunan PMKS boleh membantu meningkatkan kesedaran mengenai program berkaitan kecekapan tenaga menerusi kementerian dan agensi terlibat. Pengurusan Tenaga merupakan salah satu petunjuk asas dalam menilai amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS berdasarkan Panduan Pantas ESG untuk PMKS yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri pada 5 Februari 2024.
Dalam Majlis ini, Suruhanjaya Tenaga telah diwakili oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib bin Dawood, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga manakala SME Corp. Malaysia diwakili oleh YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.
Mengenai Suruhanjaya Tenaga
Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan badan kawal selia yang bertanggungjawab untuk mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan tenaga elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia.
Suruhanjaya Tenaga memastikan bahawa pembekalan elektrik dan gas berpaip kepada pengguna adalah terjamin, berdaya harap, selamat dan pada harga yang berpatutan.
SURUHANJAYA TENAGA (ENERGY COMMISSION OF MALAYSIA)
No. 12, Jalan Tun Hussein
Presint 2,
62100, Putrajaya
Tel : 03-8870 8500
Faks : 03-8888 8637
Laman sesawang : www.st.gov.my
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Veliana Ruslan / Hazwani Ghazali / Harith Safruddin
Unit Promosi dan Hubungan Luar
Tel: 03-8870 8753 / 019-2131978 (Veliana) / 011-28866271 (Hazwani) / 018-3822545 (Harith)
Emel: veliana@st.gov.my / noorhazwani@st.gov.my / harith@st.gov.my
Mengenai SME Corp. Malaysia
SME Corp. Malaysia merupakan Agensi Penyelaras Pusat di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan rujukan setempat bagi maklumat dan khidmat nasihat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). SME Corp. Malaysia juga menyelaras program pembangunan PMKS di Malaysia, menjalankan penilaian ekonomi dan pengreditasian PMKS, serta melaksanakan program pembangunan perniagaan dan fasilitasi akses PMKS kepada pasaran dalam dan luar negara.
Bermula pada 2 Mei 1996, SME Corp. Malaysia dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), bermatlamat membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia yang berkeupayaan dan berdaya tahan agar mampu berdaya saing di pasaran global. Pada tahun 2007, SMIDEC telah diberi mandat oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri untuk menggubal dasar dan strategi menyeluruh bagi PKS dan memacu program PKS merentasi Kementerian dan Agensi. Sehubungan itu, SMIDEC telah dijenamakan semula secara rasmi sebagai SME Corp. Malaysia pada 2 Oktober 2009.
PERBADANAN PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA MALAYSIA (SME CORP. MALAYSIA)
Aras 6, Blok B, Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur
Tel : 603-9213 0077
Faks : 603-2775 6001
E-mel : info@smecorp.gov.my
Laman sesawang : www.smecorp.gov.my
Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
(U.P. : Pn. Suraini Mohamad Sulaiman)
Tel : 03-2775 6290
E-mel : suraini@smecorp.gov.my
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.