Newsroom
Press Releases 04 December 2024

Pewartaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024

PEWARTAAN AKTA KECEKAPAN DAN KONSERVASI TENAGA 2024

PUTRAJAYA, 4 DISEMBER 2024 – Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Energy Efficiency and Conservation Act 2024 - EECA) telah mendapat perkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 14 November 2024 dan telah diwartakan pada 26 November 2024. Kerajaan dijangka mula menguatkuasakan Akta ini pada 1 Januari 2025 dengan Suruhanjaya Tenaga akan bertindak sebagai agensi pelaksana dan kawal selia.

YAB Dato’ Sri Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menekankan bahawa EECA 2024 merupakan instrumen penting untuk memacu serta memperluaskan inisiatif kecekapan tenaga negara merangkumi tenaga elektrik dan termal. Tumpuan akan diberikan dalam aspek pengurusan permintaan tenaga dengan menyeluruh, mempromosikan kecekapan tenaga dan amalan penggunaan tenaga secara lestari oleh sektor industri, komersial dan domestik.

EECA mampu memberikan impak positif kepada agenda pembangunan lestari dan manfaat sosioekonomi negara sehingga tahun 2050 termasuk penjimatan penggunaan tenaga kumulatif berjumlah 2,017 juta Gigajoule(GJ) yang bersamaan dengan penjimatan bil utiliti berjumlah RM97.1 bilion (pengiraan berdasarkan tarif elektrik semasa) serta membolehkan penghindaran karbon sebanyak 197,877 ktCO₂.

Penguatkuasaan EECA hanya melibatkan pengguna yang menggunakan tenaga sama atau melebihi nilai ambang 21,600 Gigajoule setahun, iaitu bersamaan dengan bil minimum elektrik sebanyak RM2.4 juta setahun atau bil minimum gas asli sebanyak RM1.0 juta setahun.

PETRA menganggarkan sebanyak 4.3% pengguna tenaga sektor industri yang menyumbang kepada kira-kira 66% penggunaan tenaga di dalam sektor industri akan tertakluk kepada EECA. Manakala, hanya 0.04% pengguna tenaga sektor komersial yang menyumbang kepada 21% penggunaan tenaga oleh sektor komersial akan terlibat.

Pematuhan kepada Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan melibatkan kos yang minimum kepada sektor industri dan komersial berbanding dengan faedah jangka panjang yang akan diperolehi oleh semua pengguna tenaga serta menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga negara khususnya dalam mengendalikan pengurusan permintaan tenaga dengan efektif.

KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
4 DISEMBER 2024

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.