Newsroom
Press Releases 16 January 2025

"Portal MyEnergyStats ST: Gerbang Data Terbuka Sektor Tenaga Negara"

Putrajaya, 16 Januari 2025 – Portal MyEnergyStats yang merupakan gerbang data terbuka sektor tenaga di Malaysia telah diluncurkan secara rasminya oleh pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) pada hari ini. Portal ini merupakan One-Stop Center for Energy Statistics and Information di Malaysia yang dibangunkan bagi mendigitalisasi data tenaga negara serta memastikan maklumat strategik lebih mudah diakses oleh pelbagai pihak, termasuk penggubal dasar, industri, penyelidik, dan masyarakat umum.

Dalam ucapan perasmian majlis ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof berkata Portal MyEnergyStats ini dibangunkan semula untuk memastikan ia terus relevan, mesra pengguna, dan setaraf dengan portal antarabangsa seperti yang dibangunkan oleh International Energy Agency (IEA) dan International Renewable Agency (IRENA).

“Bagi penggubal dasar, portal MyEnergyStats ini merupakan instrumen penting yang menyediakan data sebenar dan analisis untuk merangka dasar-dasar strategik. Bagi pihak industri pula, portal ini menawarkan maklumat penting untuk membuat keputusan pelaburan strategik,” katanya. 

Portal MyEnergyStats yang baharu ini menawarkan pelbagai ciri dan kemudahan terkini seperti visualisasi data yang lebih menarik, peta interaktif, serta keupayaan pengumpulan data yang lebih sistematik. Aplikasi mudah alih MyEnergyStats juga boleh diakses di pelbagai platform dan dimuat turun oleh pengguna iOS, Android, dan HarmonyOS. 

Portal ini juga menampilkan microsite AdiwiraST yang merangkumi kandungan yang interaktif dan mudah difahami serta menyokong silibus Kementerian Pendidikan Malaysia.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah turut berkata Portal MyEnergyStats dapat membantu sektor swasta mengenal pasti peluang dalam peralihan tenaga, termasuk teknologi baharu yang menyokong agenda hijau negara. Ini bukan sahaja mengukuhkan daya saing industri tetapi juga menyokong usaha kolaborasi awam dan swasta ke arah pembangunan tenaga yang lestari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST, Dato' Ir. Ts. Abdul Razib bin Dawood berkata inisiatif kita ini telah memberikan impak yang luas, khususnya dalam memenuhi keperluan domestik dan antarabangsa. Sebagai contoh, data-data yang diterbitkan diguna dalam pelaporan pelepasan gas rumah kaca (GHG) serta penyediaan Laporan Biennial Transparency Report (BTR) negara yang selaras dengan Perjanjian Paris.

“Data-data ini juga digunakan untuk menyokong pembangunan Dasar Tenaga Negara (DTN) serta pelan pelaksanaan berkaitan seperti Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR). Malah, ia turut digunakan oleh badan antarabangsa seperti Asia Pacific Energy Research Centre (APERC) dalam laporan APEC Energy Demand and Supply Outlook serta ASEAN Center for Energy (ACE) dalam laporan ASEAN Energy Outlook,” katanya.

Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Veliana Ruslan/Hazwani Ghazali/Harith Safruddin
Unit Promosi dan Hubungan Luar
Tel: 03-8870 8753/019-2131978 (Veliana) / 011-28866271 (Hazwani) / 018-3822545 (Harith)
Emel: veliana@st.gov.my / noorhazwani@st.gov.my / harith@st.gov.my

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.