Newsroom
Press Releases 08 April 2024

Program Green Electricity Tariff (GET) diteruskan dengan Kadar Premium yang lebih Kompetitif

PROGRAM GREEN ELECTRICITY TARIFF (GET) DITERUSKAN DENGAN KADAR PREMIUM YANG LEBIH KOMPETITIF

PUTRAJAYA, 8 APRIL 2024 – Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) akan diteruskan bagi tahun 2024 dengan tawaran kuota 6,600GWj dengan kadar premium 10sen/kWj untuk pengguna voltan rendah dan 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi. Program GET merupakan inisiatif strategik Kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Program GET telah berjaya membekalkan secara kumulatif sebanyak 6,762 GWj bekalan elektrik hijau kepada 2,461 pengguna dalam pelbagai kategori dan membantu mereka memenuhi komitmen Environmental, Social and Corporate Governance (ESG) khususnya dari aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca (GHG avoidance) melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.

Berikutan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga telah meneliti semula pengoperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas program GET. Selaras dengan tuntutan umum komitmen ESG sebagaimana yang diperlukan oleh syarikat korporat, Kerajaan telah memutuskan supaya:

(i) pengguna yang melanggan Program GET tahun 2024 tidak akan dikenakan caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT) untuk unit tenaga sebenar yang digunakan;

(ii) tarif baharu GET bagi tahun 2024 ditetapkan pada kadar 10sen/kWj bagi pengguna kediaman dan pengguna bukan kediaman voltan rendah (tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan F, Pertanian Spesifik H serta Lampu Jalan G & G1) dan 20sen/kWj bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi (tarif Perdagangan C1, C2, C3 & C4, Perindustrian E1, E2 & E3, Perlombongan F1 & F2 serta Pertanian Spesifik H1 & H2) berbanding kadar 21.8sen/kWj untuk tahun 2023;

(iii) langganan boleh dilakukan mulai 3 Mei 2024 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan backdate subscription untuk tempoh bermula 1 Januari 2024. Pilihan backdate subscription akan diberikan untuk langganan yang dibuat 3 Mei 2024 hingga 31 Mei 2024 sahaja;

(iv) lock in period langganan GET sehingga 31 Disember setiap tahun dan pembaharuan langganan GET adalah secara automatik setiap tahun untuk tempoh setahun sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan;

(v) pendapatan daripada pelaksanaan program ini akan digunakan untuk merancakkan lagi usaha peralihan tenaga negara untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) seperti pelaksanaan Skim Insentif Solar Rakyat atau Solar for Rakyat Scheme (SolaRIS) yang diperkenalkan baru-baru ini; dan

(vi) perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB.

Dengan ketetapan ini, PETRA yakin syarikat korporat di Malaysia akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap Program GET memandangkan proses penawaran dan pengendalian GET telah mematuhi prinsip dan kriteria kelestarian khususnya dari aspek penjanaan dan pembekalan elektrik hijau. Peningkatan langganan GET mampu memberikan nilai tambah dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara melalui pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam pembekalan elektrik negara untuk memenuhi keperluan ESG sektor korporat.

KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
8 APRIL 2024

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.