Program Green Electricity Tariff (GET) Diteruskan, Kadar Premium Dikekalkan Sehingga Disember 2025
PROGRAM GREEN ELECTRICITY TARIFF (GET) DITERUSKAN, KADAR PREMIUM DIKEKALKAN SEHINGGA DISEMBER 2025
PUTRAJAYA, 26 Disember 2024 – Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) akan diteruskan bagi tahun 2025 dengan tawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600GWh dengan kadar premium yang sama iaitu 10sen/kWj untuk pengguna voltan rendah dan 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi. Selain itu, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan mulai tahun 2025 termasuk pembukaan langganan jangka masa panjang bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga tahun 2027. Tawaran baharu ini akan memberikan kepastian (certainty) dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri.
Program GET yang diperkenalkan pada tahun 2021, merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon. Sejak diperkenalkan, Program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GWh bekalan elektrik hijau kepada melebihi 3,000 pengguna elektrik dalam pelbagai kategori dan membantu pengguna dalam memenuhi komitmen Environmental, Social and Corporate Governance (ESG) khususnya dari aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.
Berikutan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga telah meneliti semula pengoperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas program GET. Selaras dengan tuntutan umum komitmen ESG sebagaimana yang diperlukan oleh syarikat korporat, Kerajaan telah memutuskan supaya:
(i) pengguna yang melanggan Program GET tahun 2025 tidak akan dikenakan caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT). Langkah ini penting bagi memberikan gambaran sebenar bahawa tenaga elektrik hijau adalah tidak terdedah kepada pergerakan harga bahan api;
(ii) kadar premium GET bagi tahun 2025 ditetapkan pada kadar 10sen/kWj bagi pengguna kediaman dan pengguna bukan kediaman voltan rendah (tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan F, Pertanian Spesifik H serta Lampu Jalan G & G1) dan 20sen/kWj bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi (tarif Perdagangan C1, C2, C3 & C4, Perindustrian E1, E2 & E3, Perlombongan F1 & F2 serta Pertanian Spesifik H1 & H2);
(iii) langganan boleh dilakukan mulai 1 Mac 2025 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan backdate subscription untuk tempoh bermula 1 Januari 2025;
(iv) Bergantung kepada tempoh langganan, lock in period langganan GET adalah sehingga 31 Disember. Pembaharuan langganan GET adalah secara automatik berdasarkan tempoh langganan asal selepas lock in period tamat sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan oleh pengguna;
(v) opsyen baru tawaran langganan GET secara jangka panjang sehingga tahun 2027 disediakan dengan kadar premium yang lebih rendah seperti berikut:
| Tempoh | Kediaman & Bukan Kediaman Voltan Rendah | Bukan Kediaman Voltan Sederhana & Tinggi |
|---|---|---|
| 1 tahun | 10sen/kWj | 20sen/kWj |
| 2 tahun | 9sen/kWj | 19sen/kWj |
| 3 tahun | 8sen/kWj | 18sen/kWj |
(vi) Opsyen penamatan awal tempoh locked-in pengguna GET disediakan bagi langganan tahunan dan langganan jangka masa panjang dengan kos penamatan sebanyak 2sen/kWj akan dikenakan terhadap baki langganan GET yang tidak dihabiskan;
(vii) pendapatan daripada pelaksanaan program ini akan digunakan untuk menyokong usaha peralihan tenaga negara terutamanya dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) seperti melalui pelaksanaan Skim Insentif Solar Rakyat atau Solar for Rakyat Scheme (SolaRIS); dan
(viii) perincian mengenai program GET ini boleh didapati di laman sesawang TNB.
Dengan ketetapan serta penambahbaikan kepada program GET ini, PETRA pelaksanaannya akan memperkukuhkan lagi kredibiliti program ini melalui proses penawaran serta tadbir urus yang memenuhi prinsip kelestarian. Usaha ini akan mempelbagai dan menyediakan pilihan untuk akses bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat yang perlu memenuhi komitmen ESG yang telah ditetapkan.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
26 DISEMBER 2024
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.