Newsroom
Press Releases 23 December 2024

Program Net Energy Metering (NEM) Ditambah Baik, Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) Dilanjutkan Untuk Galak Pemasangan Solar Di Bumbung Bangunan

PROGRAM NET ENERGY METERING (NEM) DITAMBAH BAIK, SKIM INSENTIF SOLAR UNTUK RAKYAT (SOLARIS) DILANJUTKAN UNTUK GALAK PEMASANGAN SOLAR DI BUMBUNG BANGUNAN

PUTRAJAYA, 23 Disember 2024 – Untuk menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV di bumbung premis bangunan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program Net Energy Metering (NEM). Penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar PV.

Selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon oleh pengguna NEM, PETRA bersetuju supaya:

(i) pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan terbaru; dan

(ii) Program NEM akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar PV disamping menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Berikutan itu, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV. Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.

Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat atau Solar For Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.

Penambahbaikan ini bagi pelaksanaan Program NEM dan perlanjutan skim SolaRIS ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025. Garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my. Manakala maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM boleh didapati di laman sesawang SEDA Malaysia di www.seda.gov.my. Perincian mengenai program SolaRIS pula boleh didapati di laman sesawang TNB di www.tnb.com.my.

PETRA sentiasa komited untuk memastikan supaya pelaksanaan inisiatif TBB menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70% campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.

KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
23 DISEMBER 2024

 

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.