Newsroom
Press Releases 27 March 2024

Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) untuk Menggalakkan Pemasangan Sistem Solar PV di Premis Kediaman di Bawah Program Net Energy Metering

SKIM INSENTIF SOLAR RAKYAT (SolaRIS) UNTUK MENGGALAKKAN PEMASANGAN SISTEM SOLAR PV DI PREMIS KEDIAMAN DI BAWAH PROGRAM NET ENERGY METERING

PUTRAJAYA, 27 MAC 2024 – Pemasangan sistem solar PV (fotovoltaik) di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah quick wins bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB). Mengambil kira potensinya yang besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan bagi menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70% menjelang tahun 2050 serta mampu mengurangkan pelepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik.

Selaras dengan hasrat ini, Kerajaan akan memperkenalkan satu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik iaitu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS). Pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar di kalangan rakyat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) dengan ketetapan seperti berikut:

a) pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024;

b) skim ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun TNB;

c) skim ini adalah terbuka kepada mereka yang merupakan pemohon kali pertama bagi Program NEM;

d) pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip “first come first served” bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember 2024 dan permohonan NEM Rakyat yang telah diperoleh perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025, atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan, yang mana terdahulu;

e) pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan; dan

f) pemberian insentif ini akan dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga.

Bagi memperluaskan penglibatan rakyat dalam penjanaan TBB, Kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) di bawah Program NEM Rakyat, menjadikan jumlah kuota yang diperuntukkan meningkat kepada 350MW. Permohonan kuota untuk Program NEM Rakyat ini dibuka sehingga 31 Disember 2024 atau sehingga kesemua kuota yang diperuntukkan habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Dengan ketetapan ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yakin SolaRIS mampu menarik lebih ramai pengguna domestik untuk menyertai dan menikmati manfaat daripada pemasangan sistem solar di premis kediaman, seterusnya menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga serta sasaran neutral karbon negara menjelang 2050.

DATO’ SRI FADILLAH YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI
PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
27 MAC 2024

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.