ST Dakwa 12 Kes Kesalahan Elektrik dan Gas Berpaip ke Mahkamah pada 2025 dengan Jumlah Denda Terkumpul Lebih RM200,000
ST Dakwa 12 Kes Kesalahan Elektrik dan Gas Berpaip ke Mahkamah pada 2025 dengan Jumlah Denda Terkumpul Lebih RM200,000
Putrajaya, 19 September 2025 – Suruhanjaya Tenaga (ST) memperkukuhkan komitmennya dalam menguatkuasakan tindakan undang-undang di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan Akta Bekalan Gas 1993 [Akta 501], dengan 12 kes pendakwaan yang didaftarkan di mahkamah pada tahun ini yang melibatkan denda terkumpul sebanyak RM200,140.00.
Kes terkini melibatkan pendakwaan terhadap tiga (3) buah syarikat di Mahkamah Sesyen Wilayah Persekutuan Labuan dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, masing-masing pada 26 dan 27 Ogos 2025 atas kesalahan mencuri elektrik di bawah subseksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447]. Butiran pendakwaan adalah seperti berikut:
i. 26 Ogos 2025 - Mahkamah Sesyen Wilayah Persekutuan Labuan telah menjatuhkan hukuman denda RM50,000.00 ke atas LB Gases Hardware Sdn. Bhd., jika gagal bayar penjara selama lima bulan;
ii. 27 Ogos 2025 - Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM55,000.00 ke atas Sri Mas Foods Industries Sdn. Bhd., jika gagal bayar waran levi dikeluarkan; dan
iii. 27 Ogos 2025 - Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu telah menjatuhkan hukuman denda RM50,000.00 ke atas Kim Kian Enterprise, jika gagal bayar waran levi dikeluarkan.
Kesemua syarikat tersebut telah membayar denda yang dikenakan.
Kes-kes lain sebelum ini melibatkan kesalahan berikut:
i. menjalankan pengubahsuaian pepasangan tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kematian;
ii. menyimpan kelengkapan elektrik yang tidak berlabel dengan niat untuk menjual;
iii. menjalankan aktiviti penggunaan gas tanpa lesen;
iv. melanggar syarat lesen kerana gagal membayar fi; dan
v. memberikan maklumat palsu bagi tujuan pendaftaran orang kompeten.
Sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara, ST sentiasa menguatkuasakan peruntukan undang-undang pembekalan tenaga. Hebahan kes-kes pendakwaan ini adalah penting sebagai pengajaran kepada semua pihak untuk tidak melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan elektrik dan gas berpaip, termasuk kecurian elektrik.
ST memandang serius kesalahan seperti ini yang memberi kesan bukan sahaja kepada industri tenaga dari segi nilai, bahkan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan gas berpaip serta keselamatan awam.
Sehubungan itu, ST berharap tindakan tegas ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan elektrik dan gas berpaip. Selain itu, ST turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti kesalahan penggunaan elektrik dan gas berpaip, termasuk mencuri elektrik, melalui sistem eAduan ST yang boleh dicapai melalui laman sesawang www.st.gov.my.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.