ST Lancar Inisiatif ST-ECE Bagi Manampung Keperluan 62,000 Orang Kompeten Menjelang 2050 Selaras Agenda Peralihan Tenaga Negara
ST Lancar Inisiatif ST-ECE Bagi Manampung Keperluan 62,000 Orang Kompeten Menjelang 2050 Selaras Agenda Peralihan Tenaga Negara
Putrajaya, 6 Disember 2025 – Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini melancarkan inisiatif baharu iaitu Suruhanjaya Tenaga Energy Competency Excellence (ST-ECE), sebuah platform pembelajaran berterusan yang direka bentuk untuk memperkasa kemahiran tenaga kerja dalam industri elektrik dan gas berpaip, selaras dengan keperluan teknologi dan peralihan tenaga negara. Pelancaran ini diadakan bersempena Minggu Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, yang turut menekankan agenda peningkatan kapasiti dan pembangunan modal insan negara.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) merangkap Pengerusi ST di Bangunan Berlian ST, Putrajaya. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif ST, Puan Siti Safinah Salleh, pengurusan tertinggi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), institusi bertauliah, tenaga pengajar, para pelajar, orang kompeten serta rakan industri.
Dalam ucapan beliau, YBhg. Tan Sri menjelaskan bahawa berdasarkan unjuran peningkatan teknologi peralihan tenaga, negara memerlukan seramai 62,000 orang kompeten untuk merealisasikan usaha menggerakkan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sehingga 70% atau 56 GigaWatt (GW) dalam sektor tenaga pada tahun 2050.
Selaras dengan keperluan tersebut, ST memperkenalkan ST-ECE sebagai platform pembelajaran berterusan dalam membantu orang kompeten meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seiring dengan perkembangan teknologi terkini. Inisiatif ini menampilkan tiga modul pembelajaran utama, iaitu:
i. Modul Intensif Pra-Kompetensi – bagi calon persendirian atau mereka yang bakal menduduki peperiksaan bertulis;
ii. Modul Pemantapan Kompetensi – yang merangkumi perundangan, piawaian dan aspek teknikal berkaitan industri; dan
iii. Modul Kompetensi Teknologi Baharu – bagi memastikan tenaga mahir bersedia menghadapi perubahan pesat dalam teknologi tenaga negara.
YBhg. Tan Sri turut mengiktiraf peranan institusi pendidikan dan tenaga pengajar, “Saya secara peribadi amat menghargai para tenaga pengajar yang berusaha mencorakkan dan menerapkan nilai murni kepada pelajar, sekaligus dapat memberi manfaat kepada rakyat melalui prospek pekerjaan berkemahiran dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.”
Beliau juga menyarankan agar pihak industri meneroka peluang berkolaborasi bersama institusi dan badan kawal selia dalam menjamin peluang kerjaya kepada tenaga kompeten mahir.
Majlis ini telah menghimpunkan lebih 150 jemputan daripada PETRA, agensi kerajaan, institusi bertauliah, tenaga pengajar, industri tenaga dan rakan media sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan kompetensi tenaga negara.
Pelaksanaan ST-ECE juga menandakan langkah strategik ST sebagai badan kawal selia sektor tenaga untuk memastikan pembangunan tenaga mahir berlaku secara berstruktur, inklusif dan konsisten bagi menyokong transformasi tenaga Malaysia.
ST akan terus memacu agenda pembangunan kompetensi tenaga melalui program-program latihan berimpak tinggi, kerjasama industri dan penambahbaikan berterusan dalam ekosistem tenaga negara, selaras dengan matlamat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.