ST Lupuskan 139 Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM10 Ribu di Sabah
ST Lupuskan 139 Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM10 Ribu di Sabah
Putrajaya, 22 Ogos 2024 – Suruhanjaya Tenaga (ST) berjaya melupuskan sejumlah 139 barangan rampasan bernilai RM10,000 bagi kes-kes di Negeri Sabah. Kes-kes yang terlibat adalah seperti berikut:
i. kes di bawah Ops Curi Elektrik yang melibatkan 36 Kertas Siasatan dan barang lupus sebanyak 128 unit yang terdiri daripada meter, kabel dan benda asing yang digunakan untuk memintas bacaan meter,
ii. kes di bawah Ops Kelengkapan Elektrik yang melibatkan dua (2) Kertas Siasatan dan barang lupus sebanyak tiga (3) unit yang terdiri daripada soldering iron, kabel dan extension socket, dan
iii. kes kemalangan elektrik yang melibatkan lima (5) Kertas Siasatan dan barang lupusan sebanyak lapan (8) unit yang terdiri daripada galah besi, welding rod dan kabel.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Encik Ismail Zaili Yusop dan Timbalan Pengarah Unit Penyiasatan ST, Ir. Nik Mohd Bakhry Abu Bakar telah hadir bagi menyaksikan proses pelupusan barangan rampasan di sebuah pusat pembuangan dan pelupusan logam di Kota Kinabalu Industrial Park, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
ST telah mendapat arahan untuk pelupusan barangan rampasan tersebut daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) membabitkan sejumlah 43 Kertas Siasatan yang telah selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.
ST telah melantik sebuah syarikat yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste ini dikendalikan secara lestari bagi mematuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Pengurusan barangan kes ini melibatkan proses pengasingan (segregation) antara sisa terjadual (schedule waste) serta sisa yang boleh dikitar semula (recyclable waste) dan sampah (rubbish). Menurut pihak syarikat, barangan-barangan ini akan dihantar kepada pembeli serta ke fasiliti pemprosesan lengkap jadual (full recovery facilities) berdasarkan pengasingan yang dilaksanakan.
Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.