ST Lupuskan 2,022 Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM2 Juta Hasil Operasi Bitcoin Yang Melibatkan Kecurian Elektrik serta Kelengkapan Elektrik Tanpa Label Keselamatan ST-SIRIM
ST Lupuskan 2,022 Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM2 JutaHasil Operasi Bitcoin Yang Melibatkan Kecurian Elektrik serta Kelengkapan Elektrik Tanpa Label Keselamatan ST-SIRIM
Putrajaya, 10 Julai 2024 – Suruhanjaya Tenaga (ST) berjaya melupuskan sejumlah 2,022 barangan rampasan bernilai RM2.2 juta melibatkan barangan berikut:
i. 349 unit mesin bitcoin;
ii. 1,219 unit kelengkapan elektrik yang terdiri daripada kelengkapan tanpa label keselamatan ST-SIRIM;
iii. 445 unit kelengkapan elektrik daripada kes kecurian elektrik, dan
iv. 9 unit barangan lain yang terlibat di dalam kes-kes kemalangan elektrik.
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melakukan gimik pelupusan barangan rampasan di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Balakong, Selangor, hari ini. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi ST, Ir. Dr. Sanjayan Velautham dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Encik Ismail Zaili Yusop.
ST telah mendapat arahan untuk pelupusan barangan rampasan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) membabitkan sejumlah 46 Kertas Siasatan oleh ST yang telah selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.
Mesin bitcoin yang dilupuskan merupakan hasil barangan yang dirampas pada operasi serbuan bersepadu - OPS RENJAT yang telah dijalankan oleh ST di lima (5) premis tidak berpenghuni pada Oktober 2022 yang lalu di mana pengusikan dengan cara sambungan pintasan haram terus tanpa melalui meter telah menyebabkan kerugian melebihi RM 1.3 juta kepada pihak utiliti. Manakala, barangan lain yang dilupuskan merupakan kelengkapan elektrik yang dirampas oleh ST pada operasi penguatkuasaan yang lain.
ST telah melantik sebuah syarikat yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste ini dikendalikan secara lestari sebagai mematuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Pengurusan barangan kes ini melibatkan proses pengasingan (segregation) antara sisa terjadual (schedule waste) serta sisa yang boleh dikitar semula (recyclable waste) dan sampah (rubbish). Menurut pihak syarikat, barangan-barangan ini akan dihantar ke pembeli serta ke fasiliti pemprosesan lengkap jadual (full recovery facilities) berdasarkan pengasingan yang dilaksanakan.
Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.