ST Memperkasakan Kekompetenan TVET Sebagai Pemangkin Peralihan Tenaga Negara
ST Memperkasakan Kekompentanan TVET Sebagai Pemangkin Peralihan Tenaga Negara
Putrajaya, 26 Ogos 2024 – Suruhanjaya Tenaga (ST) menganjurkan Majlis TVET Competent ST dengan slogan “TVET Competent ST Energy Transition Catalyst” sebagai inisiatif pemerkasaan program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara, khususnya aktiviti yang berkaitan kompetenan elektrik dan gas berpaip. Inisiatif ini juga diharap mampu membina hubungan profesional di antara agensi kawal selia dan institusi serta memperkukuhkan platform bagi pendidikan berterusan, selari dengan kemajuan teknologi hijau dan hala tuju Kerajaan.
Sebahagian besar daripada agenda peralihan tenaga adalah dekarbonisasi ekonomi supaya lebih banyak industri dan perniagaan komersial bertukar daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu (TBB) melalui proses elektrifikasi. Dalam usaha mengubah dan memperkasakan industri dan perniagaan ekonomi negara, juruteknik dan jurutera yang kompeten dan berkebolehan tinggi adalah amat penting.
Pengiktirafan dan penghargaan kepada institusi yang ditauliah oleh ST untuk mengendalikan kursus dan peperiksaan kompetenan bagi elektrik dan gas ini beraspirasi untuk mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik dan gas berpaip kepada para pelajar. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai orang kompeten elektrik dan gas berpaip yang bukan sahaja berpengetahuan, berkemahiran malah berkualiti di pasaran negara.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof yang berkata, penganjuran Majlis TVET Competent ST adalah untuk memastikan institusi yang menawarkan kursus elektrik dan gas berpaip ditauliah oleh ST, selain memastikan industri melantik orang kompeten elektrik dan gas berpaip. Diharap inisiatif pemerkasaan program TVET Competent ST ini dapat meningkatkan lagi kesedaran di kalangan pihak institusi untuk mengutamakan aspek keselamatan elektrik dan gas berpaip yang selaras dengan Kod, Arahan dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh ST, dalam mengendalikan kursus dan peperiksaan kompetenan di institusi masing-masing. Pelaksanaan program TVET Competent ST ini juga akan mewujudkan rangka kerja yang kukuh bagi pembangunan kompetenan, pemerkasaan dan pentauliahan selaras dengan inisiatif peralihan tenaga dan dasar Kerajaan.
Antara aspirasi dan hala tuju program TVET Competent ST bagi industri tenaga negara adalah untuk:
i. meningkatkan proses akreditasi dengan memberi fokus kepada tenaga boleh baharu (TBB);
ii. meningkatkan silibus kompetenan dan kualiti pentauliahan institusi kompeten;
iii. memperkenalkan skim Enhanced Competent Program (ECP) untuk memastikan kualiti orang kompeten;
iv. memastikan kecukupan dana untuk meningkatkan kualiti fasiliti institusi yang diakreditasi oleh ST; dan
v. memastikan kelestarian program kekompetenan untuk memenuhi keperluan industri negara.
Beliau juga berkata berdasarkan kepada unjuran peningkatan teknologi peralihan tenaga, negara ini memerlukan seramai 62,000 orang yang kompeten, bagi merealisasikan usaha menggerakkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) sehingga 70% atau 56 GigaWatt (GW) dalam sektor tenaga pada tahun 2050.
“Saya menyarankan agar pihak industri untuk meneroka peluang berkolaborasi bersama institusi dan badan kawal selia dalam menjamin peluang kerjaya graduan TVET Competent ST. Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan untuk melantik orang kompeten dalam kerja-kerja berkaitan elektrik dan gas, demi keselamatan diri dan juga yang tersayang,” katanya.
Sehingga Ogos 2024, sebanyak 140 institusi telah ditauliah di seluruh Malaysia bagi mengendalikan kursus kompetenan elektrik dan gas berpaip di Malaysia.
Selain itu, satu MOU di antara ST dan Energy Commission of Sabah (ECoS) juga telah dimeterai pada hari ini yang bertujuan untuk mengeratkan lagi kerjasama dan kolaborasi di antara badan kawal selia serta bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif di dalam industri elektrik dan gas khususnya mewujudkan pengurusan yang efektif dan cekap bagi menjamin keselamatan pengguna di seluruh negara.
Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.