Newsroom
Press Releases 15 October 2024

ST Nasihat Orang Ramai Utamakan Keselamatan Elektrik dan Gas di Musim Banjir

ST Nasihat Orang Ramai Utamakan Keselamatan Elektrik dan Gas di Musim Banjir

Putrajaya, 15 Oktober 2024 – Suruhanjaya Tenaga (ST) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas di musim banjir. Ini memandangkan banjir boleh mengakibatkan pelbagai risiko antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

Sehubungan itu, bagi memastikan keselamatan elektrik dan gas orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pengawasan berikut:

Sebelum Banjir

Sekiranya diarah berpindah, pastikan perkara berikut dilaksanakan:

  1. Simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir.
  2. Matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.
  3. Matikan pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama seperti solar PV atau pagar elektrik.
  4. Tutup injap silinder gas atau gas berpaip.

Semasa Banjir

  1. Elak melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air.
  2. Elak daripada memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik.
  3. Jangan mengalihi tiang elektrik yang tumbang atau talian yang putus. Segera laporkan kepada pihak utiliti elektrik.

Selepas Banjir

  1. Pastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada pada kedudukan ‘OFF’ sebelum kerja pembersihan dimulakan.
  2. Sebelum ‘ON’ suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering.
  3. Sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik dan saluran gas berpaip.
  4. Elak menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya.
  5. Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST.

ST turut menasihatkan agar orang ramai menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan yang berdekatan seperti balai polis, bomba, hospital dan syarikat utiliti yang berdekatan. Sila pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau aduan mengenai perkara ini, sila hubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau email ke eaduan@st.gov.my. Layari juga laman web ST di www.st.gov.my.

 

About The Energy Commission

The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.